Sejarah


SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN DATO’ SHARIF HAMID, BARAM
Memperkasakan minda merupakan satu tuntutan yang perlu diisi bagi menongkah cabaran masa depan. Keprihatinan ini telah dicetus oleh Datuk Abang Morni dan sensitiviti perkara ini telah dirasai oleh Dato Sharif Hamid. Justeru SK Dato Sharif Hamid telah dapat direalisasikan pada tahun 1927. Nama sekolah adalah sebagai pengiktirafan kepada penyumbang tapak tanah iaitu Dato Sharif Hamid. Pelapor kepada impian menjadi kenyataan ialah berkat inisiatif dan komitmen pengurus sekolah yang pertama iaitu Datuk Abang Morni. Pada asalnya nama sekolah ialah Sekolah Datuk Abdul Hamid tetapi telah disingkatkan kepada Sekolah Rendah Dato Sharif Hamid. Sekolah ini merupakan wadah pertama bagi pelajar- pelajar menuntut ilmu di Daerah Baram yang kini menyediakan 68 buah Sekolah Rendah dan 6 Sekolah Menengah.
Ketegasan dan keadilan nilai- nilai sejagat telah ditonjolkan oleh Dato Sharif Hamid selaku pentadbir yang sebahagian tugasnya adalah sebagai hakim sesuatu perbicaraan ini telah diserlahkan ketika mengalami kegetiran mendenda RM2.00 kepada seorang pengawai Inggeris yang mabuk dan membawa seorang gadis tempatan. Bertuankan orang Inggeris bukan bermakna terlepas daripada hukuman tetapi mesti berpaksi kepada undang- undang. Inilah sifat luhur yang telah dimiliki oleh insan yang menyumbang tapak kepada sekolah untuk beberapa buah kampong di sekitar Marudi iaitu Kampung Dagang, Kampung Narum, Kampung Padang Kerbau dan Kampung Lubok Nibong.
Datuk Abang Morni dengan bantuan Cikgu Wan Mansor telah dapat menghimpunkan 4 orang pelajar pada tahun 1927. Sekolah pertama adalah bercirikan rumah biasa yang memiliki tangga besar dan tingkap yang dinaikkan ke atas. Di kalangan kanak- kanak itu, hanya 4 orang yang terdetik untuk menimba ilmu. Mereka yang berkenaan ialah Johar Saat, Rafaiee Abd. Latif, Tahar Seben dan Wan Dollah. Kumpulan pertama inilah pelapor pelajar- pelajar yang berjaya merevolusikan pemikiran masyarakat dan mendetikkan kesedaran dan tanggapan umum tentang institusi yang bernama sekolah.
Pelajar yang bernama Rafaiee Abdul Latif telah dilahirkan pada tahun 1911 dan bersekolah pada tahun 1927. Ini bermakna pelajar dalam kumpulan pertama ini berumur 16 tahun bila memasuki gerbang menuntut ilmu secara formal. Proses pengajaran dan pembelajaran hanya dilangsungkanpada pukul 2.00 hingga 4.00 petang. Rasionalnya ialah untuk memberi laluan kepada pelajar ini untuk menoreh getah dan memproses getah pada waktu pagi. Objektif serampang dua mata ini ialah bertujuan untuk membantu ibu bapa dan membiayai persekolahan mereka. Di era ini, hanya pelajar lelaki sahaja yang berkesempatan menimba ilmu.
Bangunan sekoalh hanyalah setakat dua tingkat dan kelas tertinggi yang dapat dicapai ialah Darjah 4. Allaryarham Datuk Wan Hashim Datuk Taha yang merupakan mantan Residen Bahagian Kelima dan mantan Pengerusi SPA Sarawak menerima pendidikan sehingga Darjah 4 di sekolah ini. Setelah enrolmennya bertambah, maka terbinalah bangunan kedua yang boleh menampung lebih ramai pelajar. Mata pelajaran yang diajar ialah Ilmu Hisab, Jawi dan Rumi.
Sehingga kini bangunan sekolah telah bersilih ganti lima kali. Banyak kejayaan yang telah dikecapi oleh sekolah ini. Selain daripada melahirkan tokoh- tokoh masyarakat yang disegani, sekolah ini juga melahirkan tokoh- tokoh pentadbir negeri seperti Datuk Zain Galau Abdullah, Datuk Mohammad, Datuk Wan Hashim Datuk Taha, Datuk Tuanku Abdul Rahman, Panglima Baling yang merupkan segelintir nama- nama elit terdahulu. Kelompok terkini yang telah dilahirkan ialah mantan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak iaitu Datu Mohamed Haji Sabil dan mantan Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Wan Ali Syed Hj. Yubi.
Dalam pada itu sekolah ini dahulu juga menyerlah di bidang ko-kurikulum. Lachance’s Cup telah dimenangi dalam tahun 1956 sebagai bukti kredibiliti di dalam lumba perahu. Demikian juga kejohanan olahraga bila piala pusingan Coronation Cup untuk sekolah- sekolah di Baram dimenangi pada tahun 1958 setelah menggondol kejuaraan tiga tahun berturut- turut.
Kini sekolah SK Dato Sharif Hamid telah mengalami banyak perubahan. Pada tahun 2007, kemasukan pelajar- pelajar Tahun 1 mendadak enrolmennya. Sehubungan itu, dua kelas perlu disediakan kerana 60 pelajar telah mendaftar pada tahun ini. Enrolmen pelajar di sekolah ini telah mencecah 347 pelajar dan menyediakan 12 kelas iaitu daripada Prasekolah sehingga Tahun 6. Pencapaian kelulusan keseluruhan di dalam ujian UPSR pada tahun ini telah sedikit menurun iaitu 78.9% dan kualiti pelajar- pelajar telah dipertingkatkan.
Sumber di perolehi daripada:
Responden 1: Tn. Hj. Rafaiee Abdul Latif
              Tarikh lahir: 1911
Responden 2: En Putit Matnor
              Tarikh lahir: 1918